Friday, March 27, 2009

Mak ku sayang

Hari ni aku tersangatlah sedih.........yang teramat dalam hidupku. Khabar dari doktor walaupun dah dapat aku agak tetap membuat diriku resah. Mana taknya kesihatan mak merosot sangat semenjak sebulan lebih ni.
Diabetis yang mak alami dah lama sangat pun cuma dalam 4 tahun lepas ni mak kena suntikan insulin 2 kali sehari. Cuma yang jadi masalah sekarang bukan paras kencing manis tapi rupanya mak ada kanser. Kanser kolon tu dah merebak ke hati, hati mak dah bengkak malahan anak mata dengan kulit mak dah agak kuning. Tu dah tanda-tanda jaundis, mungkin hati mak dah tak dapat berfungsi dengan sepatutnya.
Rawatan kemo tak dapat diteruskan kerana badan mak tak dapat lagi tahan kesan dari rawatan tersebut. Malahan doktor dah bagi surat rujukan ke Hospis Malaysia. Untuk melihat mak sihat seperti sebelumnya hampir mustahil, malahan berkemungkinan akan bertambah teruk, kata doktor.
Apapun, jodoh, rezeki dan maut semuanya atas kuasa Allah.......dikesempatan ini semoga dikuatkan hati dan ketabahanku untuk menjaga mak dengan sebaik mungkin dan yang paling utama semoga kesakitan dan penderitaan yang mak tanggung akan menghapus dosa-dosamu mak. Sabarlah mak ku sayang.........

Thursday, March 26, 2009

Anak

Suka sangat bila dengar berita ada kawan-kawan yang baru bersalin atau tengah mengandung. Waktu ni banyak pulak dapat undangan cukur jambul kawan-kawan atau sedara mara. Dia orang ni macam berjanji pulak nak mengandung ngan lahirkan baby dalam bulan ni. Banyaklah nak sediakan hamper. Tapi takpe, hadiah Jeffry dapat masa menang "Baby Cutie Contest" dengan "Pertandingan Bayi Comel" banyak lagi yang belum dibuka. Bolehlah bagi kat baby-baby comel tu nanti.
Dalam dengar ada kawan-kawan yang bersalin ngan mengandung sebenarnya terselitlah juga perasaan cemburu (ish, bukan cemburulah, iri je) nak mengandung lagi. Teringin sebenarnya nak mengandung ni, walau bila mengandung ni berat badan macam dipam-pam. Tak kisahlah, syok perasaan bila tengah mengandung ni apalagi bila boleh mengada-ngada ngan cik abang kita. Walau takdepun mengidam apa-apa, buat-buatlah mengidam. Sure dapatlah apa yang dihajat, nak-nak anak pertama.
Tulah, dulu sebelum dapat anak pertama, minta sangat kat Allah semoga dapatlah anak sorangpun takpe janji ada pastu taknak minta lebih-lebih. Ni bila dah dapat, belum besar manapun anak tu dah sibuk nak anak sorang lagi. Bukan tak bersyukur sesungguhnya bersyukur sangat tapi lagi bersyukur kalau dapat sorang lagi, hehehe.....
Tak faham betullah dengan orang yang boleh buang anak sedangkan ada orang yang sanggup berkorban apa saja hatta harta dan nyawa demi mendapatkan zuriat. Semua ni ujian buat kita sebenarnya. Ada orang yang dipermudahkan dapat anak. Khawin je langsung bunting pelamin atau habis pantang je terus sangkut dan ada juga yang kena berusaha lebih sikit termasuklah diriku ini.
Macam aku ni, susah sangat rasanya nak sangkut sampai satu peringkat pernah terfikir ntah-ntah aku mandul tak? ish, minta dijauhkanlah. Tapi tetap juga fikiranku positif, dalam zaman yang serba canggih ni bidang perubatan pun sangat maju, ada macam-macam cara boleh diusahakan yang penting kita sabar dan jangan berputus asa. Dan atas kesabaranku itu, lahirlah Muhammad Jeffry Danish bin Bakri........setelah bermacam-macam usaha yang kutempuhi. Nampaknya nak dapatkan adik buat Jeffry ni sekali lagi onak dan duri akan kuharungi........

Masa

Cepat betul masa berlalu...pejam celik pejam celik tahun ni umurpun dah masuk 30an. Tak terasa sungguh, kemana menghilang umur 20an ni.......kalau sebelum ni biasanya kita dipanggil dengan panggilan adik, sekarang dah terbiasa sangat dengar orang panggil kita kakak malah kadang-kala dah terdengar pun panggilan makcik.Dah tua sangat rasanya.

Syukur pada Ilahi walaupun usia bertambah, kesihatan belum nampak sangat perbezaannya. Masih sama macam dulu juga. Mungkin bila dah nak masuk 40an nanti mulalah sakit2 pinggang ke atau macam-macam lagilah penyakit zaman sekarang ni. Ish,minta dijauhkanlah.

Pertambahan umur ini juga hendaklah mematangkan diri kita. Matang dari segala segilah. Dari sudut pandangan kita dalam kehidupan lebih-lebih lagi dalam kita menangani emosi. Semoga kehidupan lebih terurus dan stabil. Tapi nak ada kehidupan yang terurus ni semuanya datang dari diri kita sendiri. Pengurusan masa adalah faktor terpenting.

Saturday, March 14, 2009

Reunion


Hari Rabu lepas, syok jumpa kawan-kawan lama waktu kat CBN dulu di foodcourt KLCC. Masing-masing rasa gembira dapat berjumpa dan bersembang tentang cerita - cerita perkembangan diri dan kehidupan masing-masing. Lama betul rasanya tak berjumpa, lebih 13 tahun dah. Perjumpaan selama lebih kurang hampir 3 jam tu rasanya sekejap sangat, maklumlah perpisahan pun dan lebih dari seabad.....memang banyak yang nak diceritakan. Kalau nak diikutkan, 3 hari 3 malam pun belum tentu habis semua yang nak diceritakan. Semua ni berlaku dengan adanya FB yang dapat menjejakkan balik kawan-kawan lama dan nostalgia dulu-dulu. Kawan-kawan adalah aset dalam kehidupan kita. Kawan untuk berkongsi kegembiraan dan juga kesedihan. Apalah erti hidup kita ni tanpa kawan - kawan yang menceriakannya......ish, besarlah harapan agar perhubungan ni tak terpisahkan lagi. Buat kawan-kawanku....semoga persahabatan kita berkekalan selamanya.

Monday, March 9, 2009

Maulidur Rasul

Selamat menyambut Maulidur Rasul....hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Kenduri Khawin


Ahad, 08 Mac 2009 pergi ke kenduri khawin adik sepupu Saadiah, Juhairiani dengan pasangannya Hasrul Nizan yang diadakan di Dewan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Aras 2 Anjung Wisma Sejarah di Jalan Tun Razak. Niat memang nak tengok Ju bersanding dan teringin nak jumpa Saadiah dengan 2 orang puterinya tu. Lama sangat tak jumpa dia, malahan hari tulah kali pertama tengok muka anak2 Saadiah, yang besarpun dah 5 tahun. Cepat betul masa berlalu, macam baru semalam je duduk kat keramat dekat dengan Haslina ngan Saadiah. Selalu pergi makan2 ngan diaorang, sekarang ni semua dah duduk jauh.Haslinapun dah ada 2 orang anak lelaki. Pejam celik pejam celik, semua pun dah jadi mak-mak orang. Walaupun jarang bertemu tapi hati ni selalu ingat kat kawan-kawan. Apa boleh buat kesibukan tugas dan tanggung-jawab masing-masing membuatkan masa nak berjumpa tu payah sekali dilaksanakan. Untung ada internet dan FB, tak sangka boleh berbual malahan berjumpa dengan kawan-kawan lama. Bukan dari universiti atau kolej je,malahan dari sekolah menengah atau sekolah rendah sekalipun.

Saturday, March 7, 2009

Anakku sayang


Hari ni bawa Jeffry ke Star Music...niat dihati biarlah dia belajar nyanyi ataupun menari. Tak harap yang lebih-lebihpun. Asalkan dia enjoy dan happy cukuplah. Tapi rupanya sampai kat situ, macam-macam pulak cikgu tu ajar, bukan menyanyi je tapi juga main piano..hehehe...Jeffry main piano, ish...biar betul, jahanam kang piano tu dia kerjakan...
Cikgu yang mengajar nak test budak2 tu sorang-sorang, Jeffry memanglah dia tak takutkan orang tapi dia suka mengacau orang. Pening kepala cikgu tu..dia marah malahan tunjuk rotan tapi Jeffry buat tak tau je, dia tarik balik rotan tu adalah. Akhirnya, cikgu surrender, tak kuasa kot nak layan anak mama ni.